News

Jocom MShopping masuk pasaran China

Category News | March 27, 2018

KUALA LUMPUR: JOCOM MShopping Sdn Bhd, pengendali aplikasi kedai runcit dalam talian, mengunjur meraih peningkatan jualan sehingga 300 peratus kepada RM50 juta dalam tahun kewangan 2018.

Pengarah Eksekutifnya, Joshua Saw, berkata ia berikutan mulai tahun ini, iaitu seawal April depan, syarikat itu mendapat akses untuk mengeksport produk makanan dan minuman buatan Malaysia ke China secara besar-besaran menerusi pengaturan dengan Xiao Xian Technology Co Ltd, syarikat pemasaran digital berpangkalan di China, di bawah Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

Beliau berkata, Xiao Xian Technology akan menyediakan kepakarannya dalam pemasaran digital dan penjenamaan di China.

"Kami akan memanfaatkan platform 8think yang dibangunkan Xiao Xian Technology. 8think adalah syarikat pembangun pemasaran dalam talian yang juga adalah rakan ekslusif untuk Alibaba, TMall dan Taoboa di China," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jocom dan Xiao Xian Technology di sini hari ini.

Matlamat MoU itu ialah bagi kerjasama untuk meningkatkan kemasukan produk makanan dan minuman buatan Malaysia ke pasaran China.

Joshua mewakili Jocom manakala Xiao Xian Technology oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Richard Yi.

Hadir sama Pengarah Bahagian Transformasi dan Perdagangan Digital Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Noraslan Hadi Abdul Kadir.

Joshua berkata, satu perjanjian perdagangan akan dimeterai antara Jocom dan Xiao Xian Technology pada April atau Mei depan bagi membolehkan aplikasi kedai runcit Jocom beroperasi secara efektif di China.

"Dengan kerjasama ekslusif itu, 8think akan menyediakan perkhidmatan untuk membolehkan Jocom menguasai perkongsian pasaran di China bagi aplikasi kedai runcit dalam taliannya, sekali gus memanfaat industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan," kata Joshua.